If You Can't Seem To Open The PDF Format, Please Download & Install Adobe Reader

Events Calendar
February 2012
S M T W T F S
29 30 31 1 2 3 4
5 6 7 8 9 10 11
12 13 14 15 16 17 18
19 20 21 22 23 24 25
26 27 28 29 1 2 3
Members' Area



THE FOUNDING OF THE SOCIETY

Inspired by the Senior Golfer’s Society of Great Britain, Messrs. Cochrane, J.L. Sime, Savage Bailey, Arthur Flowerdew and others, resolved at a meeting held in Kuala Lumpur on 5th May, 1931, to form a Senior Golfers’ Society of Malaya. The age limit was 50, though it was later modified to 48.

At this inaugural meeting, C. W. H. Cochrane was elected President, Brown, Vice President and Twiss the first Honorary Secretary and Treasurer, This committee was empowered to frame simple rules and to invite membership. Fifty-three eligible golfers from all over Malaya responded to the invitation before the 30th June, 1931, and became known as “Founder Members”.

The Society’s colours, embracing the colours of the former Federated Malay States were red, yellow, white and black. Membership covered the whole of Malaya, although there was little evidence of activity outside Selangor. In Selangor, matches were played against the “Ladies”, “Bankers, Brokers and Accountants”, “Dignity, Law and Order” and the Royal Selangor Golf Club.

The annual re-union usually took two days and included the A.G.M. There was a match on this occasion as well as competitions for the Bailey Cup, the Ross Baffy and Flowerdew Trophy. In 1942, the Pacific War intervened; however and A.G.M. was held in Changi Prison, and attendance is said to have surpassed all records.

The first Constitution and Rules were formulated in 1931. This simple Rules, with minor amendments, continued in use for fifty years and more.


 

PERLEMBAGAAN
PERSATUAN SENIOR GOLFERS MALAYSIA

Fasal 1 : Nama

Badan Sukan ini dikenali dengan nama Persatuan Senior Golfers Malaysia (Senior Golfers’ Society of Malaysia).

Fasal 2 : Alamat dan Tempat Urusan

2.1    Alamat berdaftar dan urusan Persatuan ialah di 71-2, Jalan 3/76D, Desa Pandan, 55100 Kuala Lumpur Malaysia.

2.2    Alamat berdaftar dan alamat urusan ini tidak boleh diubah tanpa kelulusan Jawatankuasa Eksekutif dan hanya boleh dikuatkuasakan setelah mendapat kebenaran bertulis daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia.

Fasal 3 : Definasi dan Tafsiran

3.1    Dalam Perlembagaan ini perkataan perkataan berikut mempunyai maksud yang bersetentangan dengannya :-

  • “Jawatankuasa Eksekutif” : bermakna Jawatankuasa Eksekutif yang ditubuhkan di bawah Fasal 15;
  • “Majlis” : bermakna Majlis yang ditubuhkan di bawah Fasal 12;
  • “Mesyuarat Agung” :  bermakna Mesyuarat Agung Tahunan atau Mesyuarat Agung Luar Biasa;
  • “Negeri” : negeri-negeri dalam Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur;
  • “Persatuan” : bermakna Persatuan Senior Golfers Malaysia (Senior Golfers’ Society of Malaysia);

3.2    Bagi maksud Perlembagaan ini, Wilayah Persekutuan Labuan termasuk dalam Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Putrajaya termasuk dalam Negeri Selangor.

Fasal 4 : Lambang

Lambang Persatuan ialah sebiji bola golf yang di luarnya dikelilingi dengan jalur berwarna hitam yang di dalamnya tertulis perkataan-perkataan “Senior Golfers’ Society of Malaysia” dan dua pasang kayu golf bertitik emas yang dipalang, dan di setengah bahagian atas bola golf tersebut terdapat kayu bendera yang dipacak berlatar belakang warna biru azura yang terletak atas ‘dimples’ berwarna hijau tua dengan seekor rusa berdiri tersergam. Warna-warna Persatuan adalah seperti yang tertera di dalam Lambang.

Fasal 5 : Objektif dan Matlamat

5.1    Untuk menggalakkan pemastautin Malaysia yang telah mencapai umur lima puluh lima tahun untuk terus bergiat dalam permainan golf dan untuk mengatur permainan dan perlawanan golf bagi tujuan mengeratkan silaturahim dan semangat setia kawan dan yang lain-lain yang bersangkutan dengan permainan golf;

5.2    Untuk menyediakan dan menyelenggarakan rumah kelab dengan peralatan dan kemudahan untuk golf, berenang, boling, tennis, skuasy dan lain-lain jenis riadah;

5.3    Untuk mendapatkan gabungan dengan Persatuan Golf Malaysia (Malaysian Golf Association) dan badan-badan golf lainnya yang boleh memanfaatkan pencapaian objektif-objektif di atas;

5.4    Untuk membeli, menyewa, memajak atau bertukar harta untuk satu tempoh atau apa juga rupa, untuk menggunakan harta tersebut untuk apa jua tujuan berkaitan dengan objektif Persatuan termasuk menggadai, memajak atau menjual atas apa-apa terma, samada kesemua atau sebahagian daripada harta tersebut untuk tujuan-tujuan yang boleh memberi manfaat kepada Persatuan dan Ahli-Ahlinya;

5.5    Untuk mengambil atau memperoleh dan memegang syer, stok, debentur atau lain-lain sekuriti atau kepentingan di dalam mana-mana syarikat; dan

5.6    Untuk melabur apa-apa wang Persatuan yang tidak dikehendak pakai bagi maksud pentadbirannya, di dalam apa-apa pelaburan atau sekuriti yang difikirkan munasabah.

Fasal 6 : Penaung

Dari semasa ke semasa Majlis boleh menjemput orang-orang ternama untuk menjadi Penaung Persatuan.

Fasal 7 : Keahlian

7.1    Persatuan ini adalah terdiri dari orang-orang yang telah dilantik menjadi Ahli sejak dari 30hb Jun 1931 mengikut Perlembagaan ini.

7.2    Majlis boleh melantik mana-mana orang sebagai Ahli Kehormat Persatuan yang Majlis fikir telah memberi khidmat cemerlang kepada Persatuan.  Ahli-Ahli Kehormat mempunyai hak dan keistimewaan yang sama dengan Ahli-Ahli lain kecuali mereka tidak mempunyai suara atau hak mengundi di dalam urusan dan pentadbiran Persatuan.

Fasal 8 : Syarat Layak Jadi Ahli

8.1    Pemohon telah mencapai usia lima puluh lima (55) tahun;

8.2    pemohon adalah ahli kelab golf yang bergabung dengan Persatuan Golf Malaysia;

8.3    pemohon mempunyai handikap USGA yang dikeluarkan oleh kelab golfnya;

8.4    pemohon adalah pemastautin Malaysia.

Fasal 9 : Permohonan Menjadi Ahli

9.1    Semua permohonan menjadi Ahli hendaklah dibuat secara bertulis dengan mengisi borang yang ditentukan yang ditandatangani oleh pemohon dan dua orang Ahli sebagai pencadang dan penyokong yang kenal dengan pemohon.  Permohonan itu hendaklah dihantar kepada Setiausaha  bersama dengan yuran masuk dan yuran tahunan untuk tahun tersebut.

9.2    Keputusan untuk menerima menjadi Ahli adalah atas budi bicara Jawatankuasa Eksekutif dan segala keputusan Jawatankuasa Eksekutif adalah muktamad.

Fasal 10 : Yuran Masuk dan Yuran Tahunan

10.1    Yuran masuk untuk menjadi Ahli ialah RM800.00;

10.2    Yuran tahunan ialah sebanyak RM200.00 dan kena dibayar pada 1hb Januari tiap tahun;

10.3    Seseorang yang diterima menjadi Ahli selepas 30hb Jun dalam mana-mana tahun dikenakan bayaran RM100.00 sebagai yuran tahunan bagi tahun dia diterima menjadi Ahli;

10.4    Seseorang Ahli boleh pada bila-bila masa selepas dia diterima menjadi Ahli menggabungkan yuran tahunan akan datang dengan membayar satu bayaran sebanyak RM2,000.00 dan dari tarikh bayaran tersebut dia akan dipanggil sebagai Ahli Seumur Hidup;

10.5    Ahli Kehormat adalah dikecualikan daripada bayaran yuran masuk dan yuran tahunan;

10.6    Seseorang Ahli yang berhajat untuk tinggal di luar Malaysia bagi tempoh lebih daripada satu tahun layak memohon bagi dikecualikan daripada bayaran yuran tahunan untuk tempoh dia tidak ada di dalam Malaysia.  Permohonan hendaklah dibuat sebelum dia meninggalkan Malaysia;

10.7    Seseorang Ahli yang telah mencapai umur tujuh puluh tahun dan telah membayar yuran tahunan bagi tiap-tiap tahun untuk 10 tahun kebelakangan, bermula dari tahun selepas dia mencapai umur tujuh puluh, adalah terus dikecualikan daripada bayaran yuran tahunan.

Fasal 11 : Pegawai Utama Persatuan

Pegawai utama Persatuan adalah Presiden, dua Naib Presiden, Setiausaha dan Bendahari yang dipilih atau dilantik mengikut Fasal 12 dan 13.  Mereka bersama dengan ahli Jawatankuasa Eksekutif yang lain bertanggungjawab mengurus dan mentadbir segala aktiviti dan perjalanan Persatuan.

Fasal 12 : Majlis

12.1    Persatuan mempunyai satu Majlis yang dianggotai oleh :-

  1. Presiden
  2. dua Naib Presiden
  3. satu wakil bagi tiap-tiap satu Negeri; dan
  4. sembilan ahli Majlis

12.2    Semua jawatan yang disebut di Fasal 12.1 adalah dipilih mengikut Fasal 13, melainkan jawatan-jawatan Setiausaha dan Bendahari adalah dilantik oleh Presiden dari kalangan wakil-wakil Negeri dan sembilan ahli Majlis di dalam Fasal 12.1(c) dan 12.1(d). Kuasa melantik termasuk kuasa membatal, menarik balik dan mengganti.

12.3    Presiden mempunyai kuasa untuk melantik mana-mana Ahli untuk mengisi kekosongan dalam Majlis dan Ahli yang dilantik ini akan bersara pada tarikh Mesyuarat Agung Tahunan untuk tahun itu diadakan.

12.4    Korum untuk mesyuarat Majlis ialah setengah daripada anggota Majlis.  Empat belas hari notis hendaklah diberi bagi tiap-tiap mesyuarat Majlis.

12.5     Ahli-ahli Majlis hendaklah :-

  1. warganegara Malaysia;
  2. bukan seorang muflis;
  3. tidak pernah dikenakan tindakan disiplin oleh mana-mana badan sukan dalam tempoh lima tahun kebelakangan; dan
  4. sempurna akal.

12.6    Mana-mana ahli Majlis yang didakwa di mahkamah atas pertuduhan jenayah hendaklah meletakkan jawatan dengan serta merta.

12.7.    Di dalam mana-mana mesyuarat Majlis di mana mesyuarat ditangguh oleh kerana tiada korum, Pengerusi bolih menetapkan mesyuarat yang ditangguh itu, diadakan pada satu tarikh tidak lewat daripada (14) empat belas hari dari tarikh mesyuarat yang ditangguh dan bagi maksud mesyuarat yang akan diadakan kemudian itu, korum yang diperlukan olih Fasal 12.4 tidak terpakai bagi mesyuarat tersebut. Korum bagi mesyuarat tersebut adalah bilangan ahli Majlis yang hadhir pada mesyuarat itu dan apa-apa keputusan yang dibuat olih mesyuarat itu adalah sah dan terpakai pada Persatuan.”

Fasal 13 : Perlantikan ke Majlis

13.1    Ahli-ahli Majlis adalah dipilih pada tiap Mesyuarat Agung Tahunan. Bagi maksud pemilihan, setengah daripada ahli Majlis akan bersara pada tiap Mesyuarat Agung Tahunan.  Seseorang ahli Majlis yang dipilih akan memegang jawatannya untuk tempoh dua tahun dan akan bersara pada Mesyuarat Agung Tahunan kedua selepas mesyuarat di mana dia dipilih.  Ahli Majlis yang akan bersara boleh dipilih semula.

13.2    Semua pencalonan hendaklah diisi dalam borang yang ditentukan yang ditandatangani oleh seorang Ahli sebagai pencadang dan seorang Ahli lain sebagai penyokong dan hendaklah dihantar dan sampai kepada Setiausaha selewat-lewatnya pukul dua belas tengah hari pada hari ke-empat belas sebelum tarikh Mesyuarat Agung Tahunan tersebut.

Seseorang calon yang dicadangkan hendaklah memberi persetujuan pencalonannya dengan menandatangani borang pencalonan tersebut.

13.3    Seseorang calon boleh menarik diri sebelum pemilihan dengan menghantar surat penarikan diri kepada Setiausaha atau hadir sendiri di Mesyuarat Agung Tahunan itu.

13.4    Dalam situasi di mana bilangan pencalonan yang diterima melebihi bilangan jawatan kosong yang dicalonkan, pengundian bagi jawatan tersebut hendaklah ditentukan dengan cara undi rahsia.

13.5    Bagi pemilihan wakil-wakil Negeri tiap-tiap calon bagi tiap-tiap Negeri hendaklah dicadangkan, disokong dan diundi oleh Ahli-Ahli dari Negeri masing-masing.

Fasal 14 : Tugas-tugas Majlis dan Ahli-Ahli Majlis

14.1    Majlis mempunyai kuasa dan tugas-tugas berikut :-

14.1.1    Menggubal dan menentukan segala dasar Persatuan bagi dibentangkan di Mesyuarat Agung bagi persetujuan Ahli;

14.1.2    Menguatkuasakan dasar-dasar dan keputusan yang diluluskan oleh Mesyuarat Agung;

14.1.3    Mengkaji dan meluluskan perbelanjaan pentadbiran dan pengurusan Persatuan;

14.1.4    Mengkaji dan meluluskan program-program dan aktiviti-aktiviti Persatuan dan perbelanjaan yang bersangkut dengannya;

14.1.5    Meluluskan peraturan baru atau yang dipinda untuk dibentangkan dalam Mesyuarat Agung bagi persetujuan Ahli;

14.1.6    Melantik, atas usul Setiausaha atau Bendahari, dari kalangan ahli Majlis yang lain, penolong-penolong kepada Setiausaha atau Bendahari untuk membantu mereka dalam menjalankan tugas-tugas dan tanggungjawab mereka dalam Perlembagaan ini.  Tempoh pelantikan penolong-penolong ini tidak boleh melebihi tempoh mereka dipilih sebagai ahli Majlis;

14.1.7    Menimbang rayuan Ahli-Ahli daripada keputusan Jawatankuasa Eksekutif;

14.1.8    Membuat lantikan dan pemecatan pengurus Persatuan;

14.1.9    Menimbang rayuan pegawai atau kakitangan yang dipecat oleh Jawatankuasa Eksekutif di bawah Fasal 16.4;

14.2    Presiden dalam masa jawatannya hendaklah menjadi Pengerusi dalam semua Mesyuarat Agung, mesyuarat Majlis dan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif, dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat serta pengurusan dan pentadbiran Persatuan.  Semasa ketiadaan Presiden untuk mempengerusikan satu-satu mesyuarat, salah seorang Naib Presiden hendaklah mempengerusikan mesyuarat tersebut dan sekiranya Presiden dan kedua-dua Naib Presiden tidak ada, ahli-ahli yang lain yang hadir hendaklah memilih seorang daripada mereka untuk mempengerusikan mesyuarat.

14.3    Naib Presiden hendaklah membantu dan semasa ketiadaan Presiden memangku tugas dan tanggung jawab Presiden.  Presiden boleh atas budibicaranya mewakilkan kepada mana-mana Naib Presiden salah satu daripada tugas dan tanggung jawab berikut :-

  1. urusan pengurusan dan pentadbiran Persatuan, urusan kesetiausahaan, urusan kewangan dan hal bersangkutan dengan keahlian; dan
  2. menyediakan program dan aktiviti yang bersangkutan dengan golf, perlawanan golf dan membuat segala persiapan bagi maksud tersebut termasuk perbelanjaannya.

14.4    (Mohon dimansuhkan)

14.5    Setiausaha bertanggungjawab dalam segala pengurusan dan pentadbiran Persatuan dan menjalankan segala arahan dan keputusan Mesyuarat Agung, Majlis atau Jawatankuasa Eksekutif.  Dia bertanggungjawab mengenai surat mesyuarat, menyedia dan mengemaskinikan Daftar Ahli, menyimpan semua buku-buku, surat-surat dan kertas-kertas kecuali buku kira-kira dan buku kewangan.  Dia hendaklah hadir dalam semua Mesyuarat Agung, Majlis atau Jawatankuasa Eksekutif dan membuat dan menyediakan catatan mesyuarat tersebut.  Dia juga bertanggungjawab mengeluarkan notis, pekeliling, laporan dan surat menyurat atas nama Persatuan.  Dia hendaklah dalam tempoh tiga puluh hari selepas tarikh Mesyuarat Agung menghantar penyata-penyata tahunan serta dokumen-dokumen yang perlu kepada Pesuruhjaya Sukan Malaysia sebagaimana yang dikehendaki di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997.

14.6    Bendahari adalah bertanggungjawab atas segala urusan kewangan Persatuan.  Dia hendaklah membuat kutipan yuran masuk dan yuran tahunan dan menyimpan kira-kira berkenaan dan apa-apa rekod akaun termasuk akaun bank dan sebagainya dan bertanggungjawab atas ketepatannya.

14.7    Wakil-wakil Negeri adalah bertanggungjawab membantu melaksana program-program dan aktiviti-aktiviti yang diadakan di Negeri masing-masing bagi menentukan pencapaian matlamat dan objektif Persatuan.

14.8    Ahli-ahli Majlis yang lain adalah bertanggungjawab membantu Presiden dalam menggubal dasar, program-program dan aktiviti-aktiviti Persatuan bagi membantu Majlis mencapai objektif Persatuan.  Presiden boleh mewakilkan apa-apa kuasa atau tugas kepada mana-mana ahli Majlis bagi maksud tersebut, dan ahli Majlis tersebut hendaklah menyediakan apa-apa laporan atas perlaksanaan kuasa atau tugas yang diberikan kepadanya.

14.9    Dalam hal di mana seseorang pemegang jawatan tidak dapat menjalankan tugas-tugasnya atas apa-apa sebab samada untuk satu hari atau bagi satu tempoh masa, Presiden boleh dengan persetujuan Majlis melantik seorang yang lain daripada anggota Jawatankuasa Eksekutif bagi menjalankan tugas-tugas tersebut.

Fasal 15 : Jawatankuasa Eksekutif

15.1    Satu Jawatankuasa Eksekutif bagi mengendali dan menyelia pengurusan dan pentadbiran Persatuan hendaklah ditubuhkan  oleh Majlis selepas Mesyuarat Agung Tahunan.  Jawatankuasa Eksekutif ini dianggotai oleh :-

  1. Presiden
  2. dua Naib Presiden
  3. Setiausaha
  4. Bendahari, dan
  5. mana-mana ahli Majlis yang lain yang dilantik oleh Majlis

15.2    Korum bagi mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif adalah setengah daripada anggotanya.  Notis bagi mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif hendaklah diberi dan sampai tidak kurang tujuh hari sebelum tarikh mesyuarat.  Presiden boleh pada bila-bila masa mengarahkan Setiausaha memanggil mesyuarat diadakan.

15.3    Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif hendaklah warganegara Malaysia, bukan seorang muflis, dan sempurna akal.

15.4    Presiden dengan persetujuan Majlis mempunyai kuasa melantik mana-mana Ahli untuk mengisi kekosongan dalam Jawatankuasa Eksekutif dan Ahli yang dilantik akan bersara pada tarikh Mesyuarat Agung Tahunan untuk tahun itu diadakan.

15.5    Seseorang anggota Jawatankuasa Eksekutif yang tidak hadir tanpa kebenaran untuk tiga kali berturut-turut mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif, melainkan dia telah meletakkan jawatan, adalah diandaikan telah meletakkan jawatannya.

15.6.    Di dalam mana-mana mesyuarat Jawatan Kuasa Eksekutif di mana mesyuarat ditangguh olih kerana tiada korum, Pengerusi bolih menetapkan mesyuarat yang ditangguh itu, diadakan pada satu tarikh tidak lewat daripada (14) empat belas hari dari tarikh mesyuarat yang ditangguh dan bagi maksud mesyuarat yang akan diadakan kemudian itu, korum yang diperlukan olih Fasal 15.4 tidak terpakai bagi mesyuarat tersebut. Korum bagi mesyuarat tersebut adalah bilangan ahli Jawatankuasa Eksekutif yang hadhir pada mesyuarat itu dan apa-apa keputusan yang dibuat olih mesyuarat itu adalah sah dan terpakai pada Persatuan.”

Fasal 16 : Pengurusan dan Pentadbiran Persatuan

16.1    Jawatankuasa Eksekutif adalah bertanggungjawab mengendali dan menyelia pengurusan dan pentadbiran serta aktiviti-aktiviti harian Persatuan dan membuat apa-apa keputusan mengenai hal-hal bersangkutan dengan pengurusan dan pentadbiran Persatuan mengikut dasar-dasar yang telah diputuskan Majlis.

16.2    Jawatankuasa Eksekutif boleh menggunakan apa kuasa dan membuat apa jua yang difikirkan perlu digunakan atau dibuat oleh Persatuan, melainkan apa-apa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan hanya boleh dibuat oleh Mesyuarat Agung atau Majlis.

16.3    Jawatankuasa Eksekutif mempunyai kuasa menubuhkan apa-apa Jawatankuasa Kecil yang difikirkan perlu dan menentukan bilangan dan melantik anggotanya.  Jawatankuasa Eksekutif boleh mewakil dan memberikan kepada Jawatankuasa Kecil apa-apa kuasa yang ada padanya mengikut Perlembagaan ini dan boleh pada bila-bila masa menarik balik kuasa-kuasa tersebut.  Tiap-tiap Jawatankuasa Kecil yang ditubuhkan hendaklah dalam menjalankan tugas dan kuasa yang diberikan memenuhi apa-apa arahan yang diberi dari semasa ke semasa oleh Jawatankuasa Eksekutif.

16.4    Jawatankuasa Eksekutif mempunyai kuasa melantik pegawai dan kakitangan untuk mentadbir Persatuan dan memecat mereka;

16.5    Kecuali kiranya peruntukan dalam Perlembagaan ini adalah bertentangan dengan apa yang diperuntukkan, Majlis dalam persidangannya adalah layak dan berkuasa membuat apa-apa ketetapan atau keputusan dalam apa-apa perkara yang Jawatankuasa Eksekutif berkuasa berbuat.

Fasal 17 : Mesyuarat Agung

17.1    Mesyuarat Agung adalah badan yang tertinggi dan menyeluruh bagi Persatuan berdasarkan kepada objektif dan matlamatnya.

17.2    Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah diadakan tidak lewat dari tarikh 30hb Jun tiap-tiap tahun pada masa dan di tempat yang ditentukan oleh Majlis bagi tujuan memutuskan perkara-perkara berikut :-

  1. menerima laporan Majlis mengenai aktiviti-aktiviti bagi tahun sebelumnya;
  2. menerima, sekiranya diluluskan, akaun bagi tahun sebelumnya;
  3. mengadakan pemilihan kepada jawatan-jawatan dalam Majlis;
  4. melantik Juru Odit; dan
  5. menjalankan apa-apa perkara yang mana notis tidak kurang empat belas hari telah diberi.

17.3    Majlis boleh mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa bila-bila difikirkan perlu dan hendaklah mengadakannya bila menerima permintaan bertulis daripada tidak kurang dari dua puluh Ahli yang menyatakan sebab memanggil mesyuarat itu.  Jika dalam tempoh dua puluh satu hari setelah menerima permintaan itu, Majlis tidak mengadakan mesyuarat yang dipinta itu, pemohon-pemohon atau mana-mana Ahli boleh dengan sendirinya mengadakan mesyuarat itu.

17.4    Notis memanggil satu-satu Mesyuarat Agung hendaklah menyatakan perkara-perkara yang akan dirumuskan di mesyuarat tersebut.  Notis tersebut hendaklah diberi dua puluh satu hari sebelum tarikh mesyuarat, dan hendaklah menyatakan tarikh dan tempat mesyuarat akan diadakan, kepada semua Ahli-Ahli di Malaysia yang alamat mereka diketahui oleh Majlis.

Bagi Mesyuarat Agung Tahunan, sesalinan Akaun yang telah diodit bersama dengan laporan Majlis mengenai aktiviti-aktiviti tahun sebelumnya hendaklah dilampirkan bersama notis tersebut.

17.5    Korum bagi semua Mesyuarat Agung ialah setengah daripada bilangan Ahli Persatuan atau dua kali ganda ahli Majlis yang mana lebih kecil.  Sekiranya korum tidak mencukupi selepas tiga puluh minit dari masa yang ditetapkan, mesyuarat itu hendaklah ditunda kepada tarikh baru dalam tempoh tiga puluh hari. Sekiranya korum masih tidak mencukupi pada tarikh baru mesyuarat itu, Ahli-Ahli yang hadir bolehlah meneruskan mesyuarat tetapi tidak berkuasa meminda Perlembagaan.

17.6    Tertakluk kepada peruntukan Fasal 13.4, dan pengundian secara poll diminta oleh tidak kurang dari lima Ahli, pengundian bagi tiap-tiap perkara hendaklah dengan cara mengangkat tangan.  Tiap Ahli yang hadir mempunyai satu undi untuk tiap-tiap satu perkara dan sekiranya terdapat undi sama banyak Pengerusi mempunyai undi kedua atau undi “casting”.

17.7    Setiausaha hendaklah menghantar kepada Pesuruhjaya Sukan Malaysia sesalinan catatan mesyuarat, laporan dan Penyata Tahunan yang telah diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan, dalam tempoh tiga puluh hari setelah selesai mesyuarat itu.

Fasal 18 : Kewangan

18.1    Tahun kewangan Persatuan berakhir pada 31hb Disember tiap tahun.

18.2    Sumber Kewangan Persatuan adalah :-

  1. yuran masuk;
  2. yuran tahunan dan penalti kemasukan semula;
  3. derma, tajaan dan bantuan samada daripada Kerajaan atau badan-badan swasta;
  4. hasil-hasil perniagaan, sewa atau sebagainya yang serupa dengannya;
  5. sumber-sumber lain yang dibenarkan oleh undang-undang dan yang dipersetujui oleh Jawatankuasa Eksekutif.

18.3    Dana dan pendapatan Persatuan hendaklah digunakan bagi tujuan mencapai objektif Persatuan dan Ahli-Ahlinya seperti disebut dalam Perlembagaan.  Ini termasuklah perbelanjaan mengurus dan mentadbir Persatuan, bayaran fee odit dan apa-apa perbelanjaan yang berkaitan dengan objektif Persatuan serta program-program dan aktiviti-aktivitinya.

18.4    Bendahari boleh memegang wang pendahuluan tidak melebihi RM1,000.00 bagi satu masa.  Segala wang yang berlebihan daripada wang pendahuluan hendaklah dalam tempoh tujuh hari setelah diterima didepositkan atas nama Persatuan ke dalam mana-mana institusi kewangan yang diluluskan oleh Majlis.

18.5    Segala cek, draf, bil tukaran dan instrumen niaga yang lain dan semua penerimaan wang yang dibayar kepada Persatuan hendaklah ditandatangani, dikeluarkan, diterima, diendorse atau sebagaimana diperlakukan dalam apa jua cara seperti yang ditentukan dari semasa ke semasa oleh Jawatankuasa Eksekutif.

Fasal 19 : Akaun dan Penyata Kira-Kira

Penyata hal wang diterima dan dibelanjakan berserta Lembaran Imbangan bagi satu-satu tahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diperiksa oleh Juru Audit dengan seberapa segera setelah tamat tahun Kewangan.  Bendahari hendaklah mengemukakan penyata kira-kira termasuk Lembaran Imbangan yang telah diaudit bagi tahun kewangan berkenaan kepada Ahli-Ahli di Mesyuarat Agung Tahunan tersebut.

Fasal 20 : Kuasa Meminjam

Majlis boleh dari semasa ke semasa memperoleh atau meminjam untuk tujuan Persatuan seberapa banyak wang yang difikirkan perlu.  Majlis juga boleh dengan apa jua cara dan dengan apa terma dan syarat bagi membolehkan atau menjamin pembayaran balik wang pinjaman tersebut seperti yang difikirkan munasabah oleh Majlis melainkan sekiranya timbul persoalan mengenai perolehan atau pinjaman wang atau perbelanjaan pembangunan oleh Persatuan yang melebihi RM100,000.00 untuk satu-satu projek, persoalan ini atau apa-apa persoalan yang berbangkit atau terbit dari atau kerananya, hendaklah diputuskan dengan undi terbanyak Ahli-Ahli yang layak mengundi dan hadir di Mesyuarat Agung yang dipanggil untuk maksud tersebut.

Fasal 21 : Perolehan dan Pelupusan Harta

Majlis boleh memperoleh, melepas, melupus atau menggadai harta kepunyaan Persatuan mengikut arahan yang dibuat oleh Mesyuarat Agung.

Fasal 22 : Harta Tak Alih

22.1    Harta Tak Alih kepunyaan Persatuan hendaklah didaftar atas nama Persatuan.  Segala instrumen mengenai harta tak alih adalah sah laku dan efektif seperti instrumen tersebut telah ditandatangani oleh tuan punya berdaftar sekiranya instrument tersebut ditandatangani oleh Presiden, Setiausaha dan Bendahari yang mana pelantikan mereka bagi maksud tersebut telah diperakui melalui satu sijil yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia dan dimakmurkan dengan mohor Persatuan;

22.2    Harta Tak Alih Persatuan tidak boleh dijual, dipindah milik atau dicagar melainkan dengan persetujuan dan kuasa Mesyuarat Agung;

22.3    Majlis boleh menubuhkan atau melantik mana-mana badan koporat atau sebaliknya untuk mengurus dan mentadbir harta Persatuan di bawah Fasal 21 atau 22 atas apa-apa terma atau syarat.

Fasal 23 : Ahli-Ahli dalam senarai tak aktif

23.1    Seseorang Ahli yang berada dalam senarai tak aktif sebelum berkuatkuasanya Perlembagaan ini akan terus berada dalam senarai tak aktif dan tidak dikenakan bayaran yuran tahunan.

Tetapi sekiranya dia ingin ditempatkan dalam senarai aktif dia hendaklah menulis kepada Setiausaha mengenai tujuannya itu dan disertakan yuran tahunan bagi tahun tersebut.

Tetapi setelah menjadi Ahli yang aktif dia tidak diizinkan untuk berbalik menjadi ahli yang tak aktif.

23.2    Seseorang Ahli yang berada dalam senarai tak aktif tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti Persatuan dan dari itu tidak berhak menerima apa-apa pekeliling mengenai aktiviti-aktiviti Persatuan tetapi beliau berhak untuk hadhir Mesyuarat Agung tetapi tidak berhak untuk mengundi dan diundi di mesyuarat tersebut.

Fasal 24 : Kehilangan Hak dan Perlucutan KeAhlian

24.1    Seseorang Ahli yang belum atau tidak menjelaskan yuran tahunannya pada 31hb Januari tidak boleh mengambil bahagian dalam apa-apa aktiviti Persatuan dan tidak boleh menikmati segala kemudahan dan keistimewaan sebagai Ahli sehingga dia membayar yuran tahunannya.  Ahli tersebut juga tidak layak menerima apa-apa notis mesyuarat atau menghadiri mesyuarat Persatuan.

24.2    Seseorang Ahli yang hilang kemudahan dan keistimewaan sebagai Ahli di bawah Fasal 24.1, boleh menikmati kembali kemudahan dan keistimewaannya dengan membayar yuran tahunan yang tertunggak dan yuran tahunan semasa dengan syarat bayaran dibuat selewat-lewatnya dalam tahun selepas tahun di mana dia tidak membayar yuran tahunannya.

24.3    Seseorang Ahli yang tidak membayar yuran tahunan bagi dua tahun berturut-turut, namanya akan dikeluarkan dari Daftar Ahli dan dengan itu dia dengan serta merta terlucut dan terhenti menjadi Ahli.

24.4    Seseorang Ahli yang masih berhutang dengan Persatuan mengenai apa-apa barang atau perkhidmatan yang diambil dari atau diberi oleh Persatuan atau atas apa-apa sebab, selain daripada tidak membayar yuran tahunan, untuk jangka masa melebihi enam bulan, nama Ahli tersebut akan dikeluarkan dari Daftar Ahli dan dengan itu dia dengan serta merta terlucut dan terhenti menjadi Ahli.

24.5    Seseorang Ahli yang tidak lagi menjadi ahli kelab golf yang bergabung dengan Persatuan Golf Malaysia adalah terlucut dan terhenti menjadi Ahli.Tetapi sekiranya dia adalah termasuk dalam golongan Ahli yang disebut dalam Fasal 10.7 keahliannya dan haknya sebagai Ahli akan terus kekal melainkan dia tidak boleh menyertai atau mengambil bahagian dalam apa-apa perlawanan atau permainan golf yang dianjurkan atau dikelolakan oleh Persatuan.

Fasal 25 : Penggantungan dan Pemecatan Ahli

25.1    Jawatankuasa Eksekutif boleh pada bila-bila masa menggantung dan boleh, setelah memberi notis dan mengadakan penyesiatan, memecat seseorang Ahli atas sebab tingkah lakunya di dalam atau di luar Persatuan yang pada pendapat Jawatankuasa Eksekutif adalah meng’aibkan nama atau mencacat kepentingan Persatuan.

25.2    Seseorang Ahli yang telah dipecat berhak dalam tempoh empat belas hari meminta Jawatankuasa Eksekutif memanggil untuk mengadakan satu mesyuarat Majlis dan Jawatankuasa Eksekutif hendaklah dalam tempoh empat belas (14) dari tarikh diterima permintaan tersebut memanggil mesyuarat Majlis.  Agenda mesyuarat Majlis tersebut hanyalah untuk menentukan samada menerima atau tidak keputusan Jawatankuasa Eksekutif memecat Ahli tersebut.  Sekiranya pemecatan Ahli tersebut yang dibuat oleh Jawatankuasa Eksekutif tidak diterima oleh Majlis, pemecatan tersebut adalah terbatal dan tidak sah.

25.3    Pengundian dalam mesyuarat Majlis bagi maksud tersebut hendaklah dengan cara undi rahsia.

Fasal 26 : Perberhentian Menjadi Ahli

26.1    Seseorang Ahli akan terhenti menjadi Ahli dan namanya dikeluarkan dari Daftar Ahli dalam keadaan–keadaan berikut:-

  1. kematian;
  2. dia berhenti menjadi Ahli;
  3. dia dikeluarkan dari Daftar Ahli di bawah peruntukan Fasal 24;
  4. dia dipecat di bawah peruntukan Fasal 25.

26.2    Seseorang Ahli yang terhenti menjadi Ahli akan hilang segala hak dan keistimewaan sebagai Ahli.  Tetapi dia atau pun warisnya akan terus bertanggung jawab atas apa-apa liabiliti atau tanggungan kepada Persatuan yang telah diberi atau tertanggung semasa dia masih menjadi Ahli samada telah pupus atau masih bertanggung samada bagi dirinya atau orang lain.

Fasal 27 : Kemasukan Semula Ahli

27.1    Seseorang yang telah mengembalikan keahliannya atau dibatalkan keahliannya di bawah Fasal 24, boleh memohon kepada Jawatankuasa Eksekutif untuk menjadi Ahli semula dan membuat bayaran-bayaran berikut :-

  1. yuran tahunan bagi dua tahun yang tertunggak, kiranya ada;
  2. yuran masuk untuk menjadi Ahli;  dan
  3. yuran tahunan.

27.2    Keputusan Jawatankuasa Eksekutif samada menerima atau menolak permohonan di bawah Fasal 27.1 adalah muktamad.

Fasal 28 : Undang-Undang Kecil

28.1    Tiap-tiap Jawatankuasa Kecil yang ditubuhkan hendaklah mempunyai undang-undang kecil bagi perjalanan tugas-tugasnya.

28.2    Jawatankuasa Eksekutif boleh membuat apa-apa undang-undang kecil yang difikirkan perlu.  Tiap-tiap undang-undang kecil yang dibuat hendaklah disahkan di mesyuarat selepas mesyuarat di mana dia dibuat.

28.3    Jawatankuasa Eksekutif boleh membatalkan, mengubah atau menambah undang-undang kecil tersebut tertakluk kepada pengesahannya seperti yang disebut di Fasal 28.2.

28.4    Setelah pengesahan seperti yang tersebut di atas, apa-apa undang-undang kecil yang dibuat, diubah, dimansuh atau dibatalkan akan berkuatkuasa dan mengikat semua Ahli.

28.5    Apa-apa soalan mengenai tafsiran fakta yang timbul dari undang-undang kecil tersebut hendaklah diputuskan oleh Jawatankuasa Eksekutif, keputusan mana adalah muktamad.

Fasal 29 : Ahli Terikat Dengan Perlembagaan

Tiap-tiap Ahli adalah terikat dengan dan menerima pakai Perlembagaan dan Undang-Undang Kecil Persatuan.

Fasal 30 : Perlindungan kepada ahli Majlis, Jawatankuasa Eksekutif dan Jawatankuasa Kecil

Seseorang ahli Majlis, ahli Jawatankuasa Eksekutif atau ahli mana-mana Jawatankuasa Kecil adalah berhak mendapat perlindungan atau jaminan ganti rugi dari dana atau asset Persatuan terhadap apa-apa obligasi atau liabiliiti yang ditanggung olehnya disebabkan atau akibat dari keahliannya dalam Majlis, Jawatankuasa Eksekutif atau Jawatankuasa Kecil dengan syarat dia telah melakukan atau menggunakan, dengan penuh keikhlasan, tugas atau kuasanya bagi pihak Persatuan.

Fasal 31 : Pindaan Perlembagaan

31.1    Perlembagaan ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan Mesyuarat Agung yang dibuat oleh dua pertiga daripada Ahli-Ahli yang hadir dan mengundi di mesyuarat yang diadakan bagi maksud tersebut.

31.2    Permohonan untuk perubahan-perubahan atau pindaan kepada Perlembagaan hendaklah dibuat kepada Pesuruhjaya Sukan Malaysia dalam masa tiga puluh hari dari tarikh keputusan mesyuarat yang memutuskan perihal perubahan atau pindaan tersebut. Perubahan atau pindaan kepada Perlembagaan ini tidak boleh dikuatkuasakan selagi tidak mendapat kelulusan bertulis Pesuruhjaya Sukan Malaysia.

Fasal 32 : Larangan

32.1    Segala bentuk perjudian dan aktiviti-aktiviti yang bertentangan dengan Undang-Undang Malaysia adalah dilarang dilakukan dalam mana-mana premis Persatuan.

32.2    Persatuan tidak boleh mencuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau mengambil peranan dalam gerakan kesatuan seperti yang diterangkan  dalam Ordinan Kesatuan Sekerja 1959.

32.3    Persatuan tidak boleh menjalankan loteri sama ada dikhaskan kepada Ahli-Ahli Persatuan atau tidak atas nama Persatuan atau pemegang-pemegang jawatan tanpa kelulusan daripada Mesyuarat Agung dan pihak berkuasa.

32.4    Persatuan tidak boleh terlibat dalam mana-mana kegiatan politik atau parti politik atau bergabung atau mengadakan hubungan dengan apa jua parti politik dan menggunakan nama Persatuan dalam apa jua isu politik.

Fasal 33 : Pertelingkahan Kepentingan

Ahli-ahli Majlis, Jawatankuasa Eksekutif atau Jawatankuasa Kecil tidak boleh menggunakan nama Persatuan atau jawatannya bagi kepentingan perniagaan atau peribadinya.  Apabila terdapat situasi pertelingkahan kepentingan (conflict of interest) dalam satu-satu perkara, Ahli tersebut hendaklah mengisytiharkan kepentingannya dan tidak boleh terlibat dalam perbincangan atau keputusan mengenai perkara itu.

Fasal 34 : Pembubaran

34.1    Persatuan ini boleh dibubarkan dalam Mesyuarat Agung yang khusus untuk tujuan ini dan dengan keputusan oleh dua pertiga daripada Ahli.

34.2    Sekiranya Persatuan ini hendak dibubarkan secara yang tersebut di atas, maka segala hutang dan tanggungan Persatuan yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang atau harta benda yang tinggal hendaklah diserahkan kepada Jabatan Insolvensi Malaysia.

34.3    Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pesuruhjaya Sukan Malaysia dalam tempoh empat belas (14) hari dari tarikh pembubaran itu.

Fasal 35 : Pertikaian

Apa-apa pertikaian antara Ahli dengan Persatuan, hendaklah, pada peringkat awalnya, diselesaikan dengan cara saksama melalui pengantaraan atau penyelesaian pertikaian alternative, dan sekiranya pertikaian itu dapat diselesaikan dengan saksama, pertikaian itu dianggap telah selesai sepenuhnya dan tidak ada lagi tindakan susulan boleh diambil oleh mana-mana pihak. Sekiranya pengantaraan gagal, pertikaian itu hendaklah dirujuk kepada satu tribunal timbangtara dalam Malaysia di mana penimbangtara hendaklah dilantik dengan persetujuan kedua pihak yang terlibat.  Sekiranya pertikaian itu masih tidak dapat diselesaikan, pertikaian itu hendaklah dirujuk kepada Menteri yang bertanggungjawab terhadap sukan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 di mana mengikut seksyen 24 Akta tersebut keputusan Menteri adalah muktamad.

Fasal 36 : Tarikh Berkuatkuasa Perlembagaan

Perlembagaan ini akan berkuatkuasa mulai pada tarikh ianya diluluskan oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia.  Perlembagaan Persatuan yang masih dipakai adalah dimansuhkan dari tarikh diterima kelulusan yang disebut di atas.

 

- TAMAT -
 
Best View Using Resolution 1024 x 768 or Higher. We Recommended Spread Firefox Affiliate Button